Salam

tinta

Tuesday, August 9, 2011

Dia 'Ketenangan' Ku

Dia ‘Ketenangan’ Ku
by
srikandi sejati
09. Ogos. 2011 (03.09 pm)

Baru hari ini aku berkelapangan menyambung semula penulisanku pada 5 Ogos 2011 yang lepas bersamaaan hari jumaat. Ketika itu….

Payahnya aku menahan perasaan mengantukku saat ini. Semalam tidur lewat. Bangun pula awal untuk bersahur. Sejak kebelakangan ini aku terasa amat letih, kurang tidur dan kurang rehat. Banyak kerja yang menunggu untuk diselesaikan di tempat kerjaku. Balik pula lewat malam. Apa yang mampu aku lakukan? Hanya cuba bertahan selagi aku terdaya. Sering kali juga aku dinasihati oleh adikku agar menjaga kesihatan. Kesihatan diri juga penting katanya. Namun sampai bila aku harus manjakan diriku? Asal ada kerja berat sikit, tak nak buat, nak kerja yang mudah sahaja. Aku tidak boleh begitu. Aku perlu mendidik jiwa, hati, jasmani dan rohani ku agar mampu bertahan dengan segala ujian yang Allah beri. Alhamdulillah aku boleh melaluinya dan moga kekal tabah dalam menjalani ujian itu. Ku akui, sesekali tubuh kecilku juga meronta, berteriak agar mereka di beri ruang untuk berehat. Sesekali mereka mengamuk lalu mengugut aku dengan perasaan sakit yang sesekali menggigit tubuh kecilku. Namun, ku pujuk minda sedarku, agar aku terus bertahan dan sabar dan terus bersabar dengan semua itu. Allah ada bersamaku.

Panggilan telefon yang tidak kusangka-sangka itu membuat mataku bulat. Hilang perasaan mengantukku. Terkejut aku menerima panggilan itu,
penuh dengan tanda tanya di minda. Bukan sebab apa, tetapi kerana kami jarang berhubung. Berhubung pun hanya melalui satu alat canggih yang tidak pernah ketinggalan zaman iaitu doa. Doa moga dia sentiasa sihat, sejahtera, selamat, bahagia dan gembira di samping orang-orang yang menyayangi dan disayanginya. Paling penting moga dia kekal berada dalam redha Allah kerana dia banyak membimbing aku menuju ke jalan yang diredhai-Nya.

Kusangka panggilan itu hanya ingin bertanya khabar dan meluahkan rasa rindu padaku yang di gelar ‘si kecik’. Apa tidaknya, dia merasakan aku ada dekat dengannya, berada di kawasan di mana dia berada. Selalunya kata hatinya itu sentiasa betul. Bahkan kadang-kadang aku tidak berjaya pun membuat kejutan untuknya, dia lebih awal menghidu pergerakanku. Dia dapat merasai akan kehadiranku. Tetapi kali ini sangkaannya meleset. Aku tidak berada di tempat dia berada. Aku fikir hanya itu yang dia ingin khabarkan padaku, tentang rasa rindu itu tetapi rupanya tidak. Ada khabar lain yang perlu di sampaikannya. Aku terpana. Diam seketika. Terkejut. Khabar yang tidak ku sangka-sangka akan aku terima dalam beberapa hari ini.

Dia akan pergi semakin jauh daripada pandangan mata ini. Dia antara insan yang paling aku sayang. Teramat sayang. Dia sanggup menangguhkan perpindahannya dari tempat dia berada sekarang semata-mata menunggu aku tamat belajar. Dia ketepikan kepentingannya demi kerana aku. Demi untuk berada sentiasa dekat denganku, agar aku tidak lemah. Dia pasti tahu sejauh mana aku memerlukan dia untuk aku survive dalam perjalanan dalam mencari ilmu-Nya. Dia banyak membangun jiwaku. Dia banyak memandu arahku. Dia banyak membetulkan langkahku. Dia banyak mendewasakan hidupku. Aku banyak belajar daripadanya tentang hidup ini melalui cerita-cerita hidup keluarganya. Cerita benar tentang perjalanan keluarganya yang sentiasa mengusik perasaanku. Cerita itu membuat aku kenal dengan semua keluarganya walau aku tidak pernah bersua dengan mereka. Ceritanya membuat jiwaku hidup. Melalui ceritanya aku mendapat motivasi untuk terus hidup di dunia ini. Dalam diam, tanpa dia sedar aku membina angan-angan untuk memiliki keluarga sakinah sepertinya.

Mungkin ramai yang tidak kenal dia dan mungkin juga ramai yang kenal dia. Aku mengenalinya semenjak aku semester satu lagi. Kerana kasih sayang yang dia beri, membuat aku akrab dengan dia. Membuat aku amat menyayangi dia. Membuat aku merasakan aku juga memerlukan dia untuk hidup ini. Dia seorang insan yang tabah. Dia seorang insan yang penyabar. Dia seorang insan yang kaya dengan kasih sayang. Dia seorang insan yang sangat kaya dengan budi bahasa. Dia seorang insan yang kaya dengan motivasi hidup. Dia kaya dengan kematangan.

Aku amat menyayangi dia. Tetapi kerana sayang itu juga aku pernah tersilap langkah. Kerana pilihan hidup yang dia buat yang aku rasakan tidak tepat, aku meninggalkan dia. Aku menjauhkan diri daripada dia. Kerana bagiku, Islam itu tidak pernah menghalalkan cara kerana matlamat. Aku terlalu menyanjungi dia hingga aku menganggap dia terlalu sempurna. Namun akhirnya aku sedar, tiada manusia yang sempurna. Kedua-dua kami mengambil langkah yang salah. Dia tersalah dengan keputusan hidupnya. Mungkin dia ada pendapat tersendiri. Aku tidak pernah bertanya tentang itu. Bahkan aku tidak pernah mahu membicarakan tentang itu. Dan aku tersalah langkah bila mana, aku meninggalkan dia dalam keadaan dia sedemikian. Adakah kerana kecewa bila menaruh pengharapan yang tinggi sebagai contoh padanya?

Kerana hal itu aku menjauhkan diri. Aku tahu dia juga merasai akan perubahanku. Aku yang sangat berubah dari aku yang dahulu. Berubah hampir seratus peratus. Tapi hakikatnya, aku juga tidak suka dengan perubahan diri ku itu. Aku menyeksa diriku. Aku menzalimi diriku. Kerana hakikatnya, aku masih perlukan dia untuk membimbing aku, sangat memerlukan. Lama ku pujuk diriku. Aku fikirkan segala pengorbanannya selama ini. Aku fikirkan segala ceritanya selama ini. Aku fikirkan tentang dirinya yang masih ada di depan mataku saat itu kerana menanti aku tamat pengajian. Masa yang kuambil terlalu lama untuk memujuk semula hati dan perasaanku hingga aku tidak sedar masa yang ku ambil itu telah menyebabkan aku semakin jauh dari dia. Tapi hakikatnya, aku sangat memerlukan dia. Itu yang dia perlu tahu.

Itu kenangan lalu, biarlah ia berlalu. Tetapi hari ini aku perlu berhadapan dengan kenyataan ini. Dia akan semakin jauh dari pandangan mataku. Aku cuma berharap agar ingatan dan doa tidak pernah putus dalam hubungan ini.

Di kesempatan yang ada ini, aku menyusun sepuluh jari, memohon maaf daripada dia dan keluarganya, dari hujung kaki hingga ke hujung rambut, dari awal perkenalan hingga ke akhir hayat ini, dari dunia hingga ke akhirat sana. Aku meminta maaf kerana berfikiran cetek. Aku minta maaf kerana telah melukai hatinya. Aku minta maaf kerana telah hampir memutuskan silaturrahim antara kita. Aku minta maaf atas kekurangan ini. Aku minta maaf atas kelemahan ini. Aku minta maaf kerana meninggalkan dia. Aku masih ingat lagi, bahkan aku terpukul dengan kata-kata seorang kakak ketika aku masih belajar dalam sebuah mesyuarat. Ketika itu dia menyampaikan tazkirah sebelum kami memulakan mesyuarat. Aku tidak ingat sangat, tapi yang pasti dalam tazkirah itu ada menyebut, sekiranya kawan kita melakukan kesalahan, maka kita tidak boleh menjauhkan diri daripada dia kerana mungkin pada saat itu dia sedang lupa. Maafkan aku kerana tidak berfikir panjang dalam membuat keputusan. Maafkan aku kerana tidak tahu menghargai.

Disaat ini, disaat dia akan meninggalkan bumi Sabah yang pasti banyak menyimpan kenangan tentang dia, baru aku menyedari akan betapa besarnya dosaku pada dia. Aku berharap agar ruang pintu kemaafan untukku masih terbuka lagi. Aku amat menyesali akan perbuatanku yang masih kebudak-budakkan itu. Betul kata orang, manusia itu kadang-kadang tidak tahu menghargai. Bila dia hilang dari pandangan mata barulah dia mencari. Mungkinkah aku antara manusia itu?Tergolongkah aku?

Buatmu kakak ku, aku amat menyayangimu. Aku amat merinduimu. Aku amat berterima kasih dengan kehadiranmu dalam hidupku. Aku harap agar segala ilmumu yang kau curahkan buatku dapat aku gunakan untuk berhadapan dengan kehidupan ini yang kian mencabar. Terima kasih atas segala tunjuk ajar yang kau berikan. Terima kasih atas segala budi yang kau curahkan. Terima kasih atas segala kasih sayang yang kau hamparkan padaku. Terima kasih kerana sudi menjadi kakak buat insan kerdil ini. Terima kasih kerana memperkenalkan aku dengan keluargamu. Kalau tidak aku tidak akan kenal dengan adik-adikmu yang pelbagai kerenah, ada yang cengeng, ada yang rockers, ada yang ayu, ada yang matang dan tidak ketinggalan ‘bro besar’. Terima kasih yang tidak terhingga. Terima kasih atas sebuah cerita dalam hidupku ini yang penuh dengan warna-warni kehidupan dalam sebuah persinggahan. Thanks to be a part of my life.  Aku berdoa moga persinggahan-persinggahan kehidupan kita selepas ini lebih baik daripada kemarin.

Aku memohon agar segala-gala yang ku terima daripadamu, kau halalkan. Termasuklah makan minumku, segala yang pernah ku guna pakai, segala ilmumu yang kau curahkan dan segala yang kau beri atau aku yang mengambilnya daripadamu ataupun daripada sesiapa sahaja ahli keluargamu. Paling penting terima kasih kerana sudi menjadi kakak ku dan sudi berkongsi suka duka denganku. Kau telah menceriakan hidup ini dan mematangkannya. Kerana kau adalah ‘ketenangan’ ku.


No comments:

Post a Comment