Salam

tinta

Thursday, July 28, 2011

Bagaikan Mimpi

BAGAIKAN MIMPI
by
srikandi sejati
29 JULAI 2011 (11.07 am)

            Ketika aku menulis entri ini, telah sembilan hari kejadian itu berlaku. Pada hari itu, 19 julai 2011, pada hari selasa bersamaan 18 Syaban 1432. Ketika itu aku masih merehatkan badan. Teringat pada keluargaku yang akan ku temui hanya beberapa jam saja lagi. Baru jam 5.45 pagi. Mungkin mereka sedang dalam perjalanan. Lantas ku capai telefon bimbitku dan ku dail nombor ibuku.

            “Assalamu’alaikum. Mak sudah jalan?” Soalku.

            “Wa’alaikumsalam. Ya, baru juga kami jalan.” Lebih kurang begitu jawapan ibuku, kerana kami bercakap dalam bahasa kami.

            “Berapa orang semua?”

            “Empat orang. Kakak mu, makcik mu, Ain dan Mak. Mana si Atie?”

            “Dirumah. Aku dirumah kawanku ni mak. Nanti aku balik. Mak sampai KK nanti beritahu aku.” Aku kira, mereka sampai bandar KK baru aku balik rumah. Rumahku dengan rumah sahabatku ini bukannya jauh sangat pun. Lagipun perjalanan mereka dari bandar KK ke Sepanggar pasti mengambil masa yang lama
.
            “Mana Ain?” Soalku. Aku sangat sayangkan anak buahku itu. Keletahnya membuat aku sentiasa merinduinya.

            “Tidur dia.”

            “Bah. Sudahlah dulu, nanti jam 6.30 kau telefon balik. Ehh..jam 7.00 la.” Kakakku yang tengah memandu bersuara.

            “Kenapa?” Benakku penuh dengan persoalan.

            “Adalah.” Kata kakakku sambil ketawa.

            Aku akur walaupun persoalan bermain di mindaku. Setelah mengucapkan salam, aku mematikan talian. Namun benakku tetap menyoal. Mungkinkah mereka mahu buat kejutan denganku? Adakah mereka telah sampai di KK? Bermacam-macam soalan timbul tanpa jawapan.

            Setiap detik yang berlalu ku rasakan terlalu lambat, bagaikan merangkak. Sesekali mataku menatap jam di telefonku. Lambatnya masa berlalu, setiap saat bagaikan berjam-jam lamanya. Oleh sebab tidak sabar menanti jam 7.00 pagi, tepat jam 6.45 aku mendail semula nombor telefon ibuku.

            Tuut tuuut..tuut tuuut..Tiada siapa yang mengangkat telefon. Cepatlah angkat telefon. Suara hatiku. Alhamdulillah, akhirnya di jawab jua. Tapi….

            Adakah aku salah dengar. Ataukah aku masih bermimpi. Atau mungkin aku salah dail. Ku tengok telefonku dan nombor yang tertera, betul pula. Tapi kenapa bukan suara seceria tadi yang mengangkat telefon, bahkan suara tangisan yang kedengaran.

            “Noy, kami accident.” Bingkas aku bangun. Sejurus itu air mataku menitis.

            “Kau macamana? Mak? Ain? Makcik?” Bertubi-tubi soalan kuajukan.

            “Ok. Mak ok jua. Ain pun ok. Makcik pun ok. Aku sajalah ada teruk sedikit.”
           
          “Tapi semua ok la? Tiada juga apa-apa?” Aku masih inginkan kepastian. Disaat itu aku terdengar suara anak buahku menangis dan suara ibuku memujuknya.
           
            “Ok. Semua ok.” Kakakku menjawab dalam tangisan.
            “Kamu di mana ni?” Bersama air mata soalan terus meniti di bibirku.

“Hospital Membakut. Kau telefonkan kak Mimi, Pakcik Abu atau Bungsu Abu. Bagitahu diorang kami di Hospital Membakut.”

“Bah.”

Semua yang ada disisiku ketika itu hairan melihat aku.

“Kenapa Na?” Kak Insyirah mengajukan soalan padaku.

“Dorang accident.” Ringkas tetapi begitu memeranjatkan sesiapa yang mendengarnya. Ada riak terkejut pada setiap wajah. Empat pasang mata memandangku yang mengesat airmata.

“Tiada apa-apa juga kan?” Aku hanya menggeleng.

“Langgar apa?”

“Trailer.”

Aku mendail saudara mara ku. Pakcik dan makcik ku yang ada. Semua terkejut mendengar berita itu. Dalam masa beberapa minit sahaja pasti semua sudah berkumpul di hospital dimana mereka berada.

Semua rancangan yang ingin aku lakukan hari ini tergendala. Namun aku redha. Redha maknanya rela. Pasrah maknanya berserah. Adikku juga pasti faham. Aku hanya mampu merancang, Allah lah yang menentukan semuanya. Dalam perjalanan balik aku menerima panggilan. Aku di khabarkan bahawa anak buahku akan di hantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk pemeriksaan lanjutan. Aku terpaksa menukar haluan dan menuju ke Hospital Queen seorang diri. Sepupuku membawa haluan balik ke kampung kerana ibunya terlibat sama dalam kemalangan itu.

Mesej demi mesej. Panggilan demi panggilan aku terima. Ada yang bertanyakan khabar keluargaku. Tidak kurang juga yang memberikan kata semangat padaku. Dan akhirnya, aku menerima lagi satu ujian bila telefon bimbitku habis bateri. Lupa nak caj semalam.

Menanti kedatangan ibuku itu adalah terlalu lama bagiku. Sementara menanti kedatangan mereka aku mengambil kesempatan mencaj telefonku di rumah Allah di Hospital Queen. Tidak sampai sepuluh minit,

“Mak sudah sampai. Di tempat x-ray.” Mesej yang kuterima membuat aku bingkas bangun.

Pantas aku mencari tempat itu. Akhirnya aku temui satu wajah itu.

“Tak juga mak apa-apa?” Soalku setelah aku tiba disisinya. Hakikatnya saat itu aku menahan air mataku agar tidak menitis.

“Tak juga. Dada mak sajalah sakit. Tidak boleh tunduk. Menoleh pun tak boleh.” Aku mengangguk mendengar penjelasan itu.

“Ain mana?” Mataku meliar mencari anak buahku kerana aku tidak temui dia bersama ibuku.

“Tu.” Ibuku menunjuk arah di hadapan pada seorang nurse perempuan. “Dengan nurse tu.”

Aku melangkah menghampiri nurse itu. Bagai disuruh, tidak dapat dibendung lagi air mataku turun membasahi pipi. Anak kecil yang baru berusia enam bulan itu sedang tidur. Tiba-tiba dia merengek kecil. Mungkin dia menyedari kehadiranku dan ingin memberitahu padaku kesakitan yang dialaminya. Tambah deras air mataku mengalir. Tidak tahan menatap wajah itu, aku mengatur langkah dan duduk di sisi ibuku. Setelah lama aku memujuk diriku barulah aku bersuara.

“Macamana boleh jadi begini mak?” Soalku sambil mengesat air mataku.

Ibuku menceritakan kejadian itu. Ketika itu mereka baru saja keluar dari selekoh. Tiba-tiba saja cahaya matahari pagi memancar terang memanah mereka. Cahaya itu menyilaukan pandangan mereka. Ibuku dan mak cik ku terlihat cahaya matahari itu berwarna merah terang. Kakakku pula terlihat cahaya itu berwarna putih. Pada saat itulah juga kakakku terlihat ada sebuah kereta dari arah hadapan sedang memotong. Kerana tidak mahu dilanggar, kakakku membelok keretanya kebahu jalan yang tanpa dia perasan di bahu jalan itulah ada sebuah trailer sedang berhenti. Alhamdulillah, kereta yang dipandu kakakku itu berada di tahap kelajuan di bawah 40km/jam sahaja. Kalau laju, tidak dapat aku bayangkan apa yang akan terjadi. Bahagian depan kereta termasuk di bawah trailer itu. Cermin hadapan retak. Yang peliknya, kerusi penumpang disebelah pemandu yang ibuku duduki boleh patah terlipat. Pelik. Ibuku sendiri tidak ingat bagaimana ianya terjadi. Sebab itulah, ibuku menghadapi sakit di bahagian dadanya. Kata ibuku, syukurlah ketika itu anak buahku itu berada di belakang, tidur di pangkuan mak cik ku. Kesiannya, kepala si kecil itu terhantuk dipintu kereta. Kepalanya sebelah kiri bertanda, berwarna merah akibat daripada hentakkan itu.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana memanjangkan umur mereka. Alhamdulillah, aku di khabarkan saat itu kakakku dan makcikku telah pulang kerumah. Kakakku mengalami sedikit kecederaan yang teruk. Pipinya bengkak, dahi dan bibirnya berdarah mungkin kerana terhantuk di stereng kereta. Bahagian tubuh kakakku dan makcikku lebam-lebam. Kesian mereka.

Anak buahku di tahan di Hospital Likas. Dia perlu mendapat rawatan dan pemerhatian yang rapi daripada doktor. Telefon ibuku tidak henti-henti menerima panggilan daripada saudara mara bertanyakan keadaan ibuku dan anak kecil itu.

Petang itu juga, ramai sahabatku dari Politeknik datang melawat. Rasa terharu yang teramat sangat. Walaupun mereka sibuk dengan gerai konvokesyen di Politeknik, mereka tetap ada masa untuk mengeratkan ukhwah ini, menjenguk ibuku dan si kecil. Rasa sangat terharu dengan keprihatinan mereka apatah lagi apabila bos ku juga turut datang melawat.

Ramai yang tidak kusangka-sangka rupanya mengambil berat tentang aku dan keluargaku kerana sebaik sahaja aku menghidupkan telefonku, lebih kurang 20 lebih mesej pemberitahuan bahawa ada panggilan yang tidak tersambung. Mungkin ada yang menyangka, aku sengaja menutup telefon. Aku minta maaf, bukan sengaja untuk tidak mengaktifkan telefon, tetapi kerana bateri telefonku habis caj.






Gambar kereta kakakku yang terlibat dengan kemalangan tersebut. Walaupun kecil, tetapi kereta inilah yang banyak berbakti pada diriku dalam berjuang demi mencari keredhaan yang Maha Esa.

Dikesempatan yang ada, aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih pada mereka yang prihatin terhadap diri dan keluargaku. Terima kasih atas keprihatinan, budi dan sekalung doa yang dikirim yang amat bermakna buatku dan keluargaku. Tiada apa yang dapat aku berikan untuk membalas jasa kalian semua melainkan doa untuk kesejahteraan dan kebahagiaan hidup kita semua. Moga Allah menerima dan membalas jasa baik kalian.

‘INDAHNYA UKHUWWAH KERANA ALLAH’

Sekian. Wassalam.





No comments:

Post a Comment