BEZA ANTARA YANG SEDIKIT DAN YANG BANYAK
by
srikandi sejati
17 Oktober 2011 (10.48 pm)
Menerima satu panggilan telefon membuat aku tersenyum lebar. Gembira. Tetapi kerisauan itu tetap ada. Banyak yang perlu aku fikir. Aku di panggil datang untuk temuduga di sebuah syarikat swasta.
Setelah hadir temuduga, ternyata aku diterima dalam syarikat itu. Aku di beri peluang untuk membuktikan kemampuanku dalam tempoh satu bulan. Kalau prestasiku baik, aku akan diterima. Gaji yang dijanjikan denganku juga agak lumayan. Bahkan katanya kalau usahaku lebih, aku akan mendapat pendapatan yang berlipat kali ganda, lebih dari apa yang aku perlukan. Aku di suruh datang bekerja secepat yang mungkin dan aku mengambil keputusan akan berhenti daripada kerjaku sekarang sebaik sahaja tamat bulan ini.
Pada mulanya aku menyangka syarikat itu akan menjual perisian komputer yang biasa digunakan seperti yang syarikat itu katakan padaku. Namun hari pertama aku datang bekerja dan diperkenalkan dengan syarikat itu, aku terkejut bila mengetahui apa yang akan ku lakukan adalah tidak sama seperti apa yang ada dalam fikiranku. Ia seakan menyerupai judi bahkan ia sudahpun bersifat judi. Lalu halal dan haramnya ku pertikaikan. Aku merujuk pada mereka yang lebih arif tentang isu-isu sebegini.
Ada yang mengatakan ianya halal dan ada yang mengatakan ianya haram. Tapi hatiku mulai gelisah. Sepanjang berada di syarikat itu, hatiku resah. Seribu satu persoalan menghuni benak dan fikiranku. Kehalalan kerjaku itu aku pertikaikan pada diriku sendiri. Ketakutan mulai menduduki hatiku ini. Aku takut akan DIA. Aku takut dengan balaNYA. Aku takut dengan kuasaNYA. PembalasanNYA boleh datang bila-bila masa sahaja. Aku mulai was-was dengan kerja itu.
Hari kedua aku bekerja hanya jasadku sahaja yang ada di syarikat itu. Fikiranku di tempat lain. Tanganku pula tidak henti-henti ber’sms’ dengan mereka yang arif tentang isu ini. Nasib baik hari kedua itu masih lagi sesi ta’aruf (perkenalan) antara kami, pekerja baru dengan syarikat. Hari kedua berlalu tanpa aku dapat apa-apa input daripada sesi perkenalan dengan produk itu. Ketakutan, kegelisahan, keresahan, kerisauan dan seribu satu lagi rasa tidak selesa mulai menebal dalam diriku. Dan akhirnya…
Hari ketiga, tamat sahaja sesi perkenalan itu, pada sebelah petang, aku menyuarakan suara hatiku untuk berhenti. Aku tahu syarikat itu tidak terkejut, kerana aku pasti mereka dapat membaca semuanya daripada riak wajahku. Menyuarakan isi hatiku itu, bagai melepaskan batu besar yang ku pikul yang ku usung kesana kemari selama beberapa hari ini. Bahuku terasa ringan. Fikiranku terasa kosong berbanding tiga hari yang aku lalui dengan beban yang terasa berat. Bahkan aku dapat merasai ketenangan yang hilang beberapa hari itu, telah datang semula. Hingga ada mereka yang terkejut melihat aku tersenyum gembira dan tertawa riang, berlawan dengan adat kebiasaan orang lain bila berhenti bekerja yang mungkin boleh membawa kemurungan dan kesedihan yang berpanjangan. Alhamdulillah, kebahagiaan itu datang semula walaupun aku kehilangan kerja.
Aku berfikir. Banyak hikmah yang aku dapat. Banyak pengajaran yang aku perolehi daripada kerjaku yang tiga hari itu. Ternyata, aku perlu lebih banyak belajar lagi bagaimana untuk membuat keputusan dan pilihan dengan tepat. Sesuatu keputusan yang dibuat haruslah dipilih dengan bijak tanpa perlu mengorbankan dan menyinggung perasaan mana-mana pihak terutamanya Sang Pencipta.
Dan paling penting, pengajarannya ialah apabila sesuatu itu Allah katakan haram ia akan tetap haram, tidak boleh dihalalkan. Walaupun ia memberi pulangan yang lumayan, tetapi ia tidak akan menjamin kebahagiaan hidup. Apa guna harta bertimbun jika hati sentiasa resah. Apa guna kekayaan menggunung jika hidup sentiasa gelisah. Wang ringgit tidak akan dapat membeli ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki.
Dari situlah aku mengerti betapa berharga dan berbezanya yang sedikit tetapi halal berbanding yang banyak tetapi haram. Betapa berbezanya antara keduanya. Kerja yang gajinya banyak dan lumayan belum tentu dapat menjamin kebahagiaan yang berpanjangan. Mungkin bahagia tetapi pasti hanya untuk seketika. Tetapi kerja yang gajinya sedikit tetapi halal sudah pasti memberikan kebahagiaan yang kekal, keindahan sebuah kehidupan kerana redha-Nya sentiasa mengiringi langkah perjuangan kita walaupun ia perit. Ingatlah, wang ringgit mungkin boleh membeli dunia kita yang sementara, tetapi bukan akhirat yang kekal abadi..
Moga perkongsian ini berguna untuk diriku yang lemah ini dan juga buat mereka yang membacanya. Bersama kita berhati-hati dalam mengatur langkah demi masa depan dunia dan akhirat kita. Syukur ke hadrat Allah kerana membuka pintu hati ini untuk menilai. Moga ia akan terus terbuka dan terbimbing.