Salam

tinta

Tuesday, March 22, 2011

8 Tips Orang Rendah Diri

8 Tips Orang Rendah Diri
by
muslimah_hana90@yahoo.com
@
23.march.2011 (2.28am)


Kadang-kadang, dalam melalui arus kehidupan ini kita terleka. Adakalanya kita terlena. Begitulah lumrah hidup seorang hamba yang tidak sempurna, sering memerlukan teguran daripada orang lain agar ada yang membetulkan. Kadang-kadang, sedang enak melalui kehidupan, ada insan yang terleka rupanya dia sedang menuju kemurkaan Allah.

Kerana lalai, dia lupa dia telah menjadi angkuh. Kerana alpa dia telah meninggi diri. Sedangkan sifat ini perlu dijauhi kerana hidup ini disekeliling masyarakat dan mereka adalah diperlukan. Disini saya bawakan 8 tips untuk menjadi orang yang rendah diri agar kita sama-sama muhasabah diri kita. Kita tidak mahu kerana kelalaian kita, Allah tidak menerima amal kita.


8 TIPS JADI ORANG YANG RENDAH DIRI:
  • Sentiasa mengucapkan "TERIMA KASIH". Ucapan terima kasih yang keluar dari bibir kita adalah satu penghargaan buat orang yang mendengar. Ucapan itu sebagai tanda kita menghargai apa yang telah diberikan kepada kita tidak kiralah pemberian itu sekecil mana sama ada ianya kelihatan ataupun tidak.
  • Menolak pujian jika di puji. Seringkali, manusia itu lebih suka mendengar pujian daripada kritikan walhal pujian itulah yang membuat kita seringkali alpa. Kerana pujian kita jadi lemah, kerana pujian kita sering terkulai, dan kerana pujian juga kita sering lupa daratan. Sebaiknya, jika di puji, kembalikanlah pujian itu kepada Allah S.W.T, kerana DIA lah yang menciptakan segalanya. Sebagai contoh, "awak ni pandailah." jawablah,"Alhamdulillah, pujian bagi Allah yang telah memberi nikmat akal fikiran bagiku. Jika Allah tidak meminjamkan kewarasan itu, tidak mungkin aku jadi pandai."
  • Tidak sentiasa merasa betul. Tanamlah dalam minda kita, kita bukan manusia yang sempurna yang sentiasa dalam keadaan betul. Bila mana kita terlalu yakin kita sentiasa betul, itulah yang menyebabkan akan timbul penyakit rasa tinggi diri dan angkuh.
  • Sesekali jadilah yang nombor dua. Bila kita sering inginkan yang nombor satu, ia akan membuat kita sentiasa di atas. Dan bila kita sentiasa di atas, itu yang akan menyebabkan ianya bermula....
  • Hargai apa yang dimiliki. Kita jangan terlalu mengejar apa yang orang lain miliki hingga kita terlepas apa yang ki sedang miliki. Ada hikmahnya kita tidak memiliki apa yang orang lain miliki. Mungkin saja apa yang orang miliki itu, jika kita miliki ia akan mendatangkan keburukan kepada kita. Tidak menghargai apa yang kita miliki juga adalah salah satu tanda kita tidak mensyukuri nikmat yang Allah beri.
  • Wujudkan sifat suka mendengar. Setiap yang dijadikan oleh Allah itu pasti ada kebaikan dan keburukannya. Jika kita dijadikan sebagai seorang yang suka bercakap, bersyukurlah kerana Allah memberi kita nikmat itu. Tetapi sesekali, tutuplah mulutmu, bekukan lidahmu dan tadahkan telingamu. Jadilah seorang pendengar yang setia dan bermanfaat kepada orang lain kerana ada masa orang lain juga perlu bersuara.
  • Jangan suka melabel orang. Melalui sebuah kehidupan, terutamanya di kampus, kita akan seringkali bertemu dengan orang ramai. Orang ramai yang bermacam-macam. Semakin ramai yang kita temui, semakin banyak ragam yang akan kita jumpa. Tetapi itu tidak bermakna kita boleh melabel mereka dengan sesuka hati. Mereka juga punya perasaan. Mereka juga ada hak untuk hidup di dunia ini. Apapun yang kita temui, biarkan mereka, jangan pula kita menambah dosa yang sedia ada.
  • Sentiasa menyibukkan diri hingga tiada masa untuk melihat kesilapan orang lain. Melihat kesilapan orang lain selalunya akan membuat kita lebih tertarik untuk mengumpatnya walaupun kita kadang-kadang berusaha untuk mengelak darinya. Bila mana kita suka mengata keburukan orang lain, insyaAllah, satu masa nanti Allah akan menguji kita dengan apa yang telah kita katakan. Tetapi itu tidak bermakna kita tidak perlu menegur orang yang melakukan kesalahan.
Moga dengan apa yang telah saya tuliskan kali ini dapat membimbing kita untuk menjadi hamba yang bersyukur atas nikmat Allah dan sentiasa berada dalam keadaan rendah diri walaupun telah berada di tempat yang tinggi. Entri ini bukan sahaja peringatan untuk para pembaca tetapi juga lebih kepada saya. Moga redha Allah kekal bersama kita semua.


No comments:

Post a Comment