Salam

tinta

Sunday, March 20, 2011

Pengembaraan Hari Ini

Pengembaraan Hari Ini
by
muslimah_hana90@yahoo.com
@
21. March.2011 (01.02 am)


Bismillahirrahmanirrahim..
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

Alhamdulillah, kupanjatkan syukur kehadrat Illahi yang memiliki sekalian alam, yang mengizinkan sesuatu itu berjalan dan tanpa izin-NYA, sebaik manapun sesuatu itu dirancang jika DIA tidak mengizinkan, maka tidak akan berjalanlah program itu.

Baru sahaja petang kelmarin (20.3.2011) Unit Amal dan Nisa kawasan Sepanggar mengadakan lawatan amal ke Hospital Likas, Kota Kinabalu. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar.
Tepat jam 4.30 ptg, kami bertolak menuju destinasi. Ketika itu hujan lebat sedang membasahi bumi. Alhamdulillah, rahmat Allah. Setibanya kami di Hospital Likas, kami berkumpul diruang menunggu sambil bertegur sapa dan bersalaman sebelum kami pergi melawat.

Beberapa minit kemudian, kami bertolak ke tingkat 3, Hospital Likas dan pergi ke Wad Melur iaitu wad untuk kanak-kanak. Kanak-kanak itu tersenyum gembira melihat kedatangan kami. Selesai berkenalan dengan kanak-kanak itu, kami menyanyi bersama mereka antara lagunya ialah ‘Twinkle In The Star dan Kalau Anda Gembira’.

Jelas kelihatan kegembiraan di wajah mereka. Kemudian mereka disoal dengan soalan matematik dan macam-macam soalan lagi. Sebagai hadiah, mereka mendapat sebuah majalah Ana Muslim dan beberapa bungkus makanan ringan yang siap di balut. Berebut-rebut mereka menjawab soalan. Alhamdulillah, sambutan adalah positif dan kami telah berjaya menyebarkan aura positif hingga mereka juga merasa gembira.

Selesai di situ, kami pergi melawat pula di wad. Ya Allah, melihat keadaan mereka ini amat menyayat hati. Rata-rata mereka berumur 12 tahun dan kebawah. Yang lebih menyedihkan lagi adalah apabila penyakit yang mereka hadapi adalah terlalu awal untuk mereka hadapi. Usia mereka terlalu muda untuk melalui semua itu. Namun, kita adalah hamba, Allah lah yang menentukan segalanya. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNYA.

Kami mendekati sebuah katil yang menempatkan seorang kanak-kanak perempuan yang mungkin berusia dalam lingkungan 1 tahun lebih. Kami mendekatinya dan bermesra dengan keluarganya yang menjaganya ketika itu. Ternyata, kanak-kanak perempuan itu menghidap penyakit lemah paru-paru. Dia mendapat bantuan pernafasan daripada sebatang hos.

Anak salah seorang staf kami yang juga menyertai rombongan itu mendekati kanak-kanak itu. Dia menghulurkan tangan kepada kanak-kanak itu untuk bersalam. Huluran tangannya bersambut tetapi perlahan. Kanak-kanak itu mencium tangan anak staf itu yang baru berusia 4 tahun lebih. Rombongan begitu terharu dan turut menitiskan air mata melihat adegan itu. Terlalu pilu. Tambah mengharukan keadaan apabila anak staf itu sendiri menitiskan air mata.

Kami meneruskan lawatan. Keluar dari bilik itu, aku melihat seorang kanak-kanak sedang duduk di sebuah kerusi di depan bilik itu. Separuh wajahnya dilindungi oleh mask. Dia sedang khusyuk membaca majalah ana muslim yang baru kami hadiahkan tadi. Aku mendekatinya. Lancar dia membaca. Aku menegurnya sambil memegang bahunya, “Adik buat apa ni?”. “Baca buku.” Ringkas sahaja jawapannya. “Oh, adik dah pandai membaca. Pandainya adik ni.” Aku menyambung semula setelah berdiam diri untuk seketika, “adik sakit apa?”. Dia bepaling memandangku lalu menjawab, “kanser dalam darah.” Jelas sekali suaranya di telingaku. Gulp!! Aku menelan liur. Tanganku pantas menyapu mataku apabila aku terasa ada air panas yang mengalir di pipi. Aku tidak boleh bertahan lama, pantas aku meminta izin untuk pergi. Dia hanya mengangguk. “Semoga adik cepat sembuh.” Hanya itu yang keluar dari bibirku, antara jelas atau tidak. Pantas aku mendapatkan kawanku.

gambar seorang kanak-kanak sedang khusyuk membaca majalah ana muslim.

Akhirnya, sebelum maghrib, kami menamatkan lawatan itu. Ada yang balik dengan mata yang bengkak. Kami bertolak balik dengan sejuta kenangan terpahat di minda. Moga apa yang telah dicatatkan pada hari ini mampu membuat kita menghargai hidup ini. Sepayah manapun hidup kita, yakinlah pasti ada yang lebih payah hidupnya daripada kita. Sesukar manapun untuk kita meneruskan langkah, yakinlah kita kena kuat kerana ada yang mengharap kekuatan kita agar mereka dapat bersandar pada bahu kita. Tanpa sedar, pada diri mereka ada kekuatan kita dan rupanya mereka juga menjadi lemah tanpa kita kerana pada kita ada kekuatannya..(“,)


1 comment:

  1. bersyukurlah dengan kehidupan dan nikmat sihat yang diberikan oleh-Nya. .kerana ada orang lain lagi yang tidak dapat merasakannya. .huhu

    ReplyDelete