KERANA KAU SAHABATKU!
by
muslimah_hana90@yahoo.com
@
Deraian air mata di pipiku semakin lebat. Sedari tadi lagi aku tidak berhenti menangis. Sedari tadi jugalah aku tidak berhenti-henti memujuk hatiku agar menerima segala ini dengan redha tetapi kadang-kadang aku gagal apabila hatiku meratapi nasib ini. Beginilah hati manusia, ada kalanya tidak redha dengan segala ketentuan daripada Sang Pencipta. Aku beristighfar perlahan, berkali-kali memohon ampun agar dosaku ini diampunkan.
Disaat ini aku kehilangan kata, hanya kadang-kadang terdengar keluhan kecil bersilih ganti dengan suara mengagungkan Allah. Ya Allah, hanya Kau yang tahu seksa yang aku rasa, pedihnya hatiku, derita yang ku tanggung membuat aku rasa semakin lemah Ya Allah, tapi aku tahu pasti semua ini ada hikmahnya. Kau menguji hamba-Mu setimpal dengan kemampuan hamba-Mu. Kau menguji hamba-Mu kerana Kau sayang akan hamba-Mu.
“Balqis, maafkan aku. Aku tidak berniat untuk melukakan hatimu.” Perlahan suaraku meniti di telinga Balqis.
“Sudahlah Husna, aku tidak mahu dengar apa-apa penjelasan lagi. Semuanya telah jelas.” Begitupun suara Balqis menghiris perasaanku, aku tetap tidak mahu berganjak daripada kedudukan ku. Aku mahu Balqis faham bahawa aku buat semua itu untuk kebaikan dia.
“Balqis, Adam bukan lelaki yang baik.” Astaghfirullah, aku tidak berniat untuk memburukkan nama lelaki itu. Ampunkan aku Ya Allah.
Balqis merenungku tajam. Aku terkedu. Ini adalah kali pertama dia berkasar denganku sepanjang persahabatan kami dan aku biarkan semua itu kerana aku yakin dia boleh jadi sahabatku yang baik.
“Kau siapa untuk menentukan samada Adam itu baik atau tidak?”
Aku beristighfar panjang melihat api kemarahan Balqis semakin menyala. Aku cuba menghalang Balqis daripada meneruskan langkahnya yang terhalang olehku, tetapi…
Bedebukkkk!!!!!
Aku jatuh tersungkur. Aku terasa kepalaku pening dan akhirnya aku tidak sedarkan diri.
Mengingat semua itu, hatiku jadi pedih semula. Airmataku menitis semakin lebat. Kerana peristiwa yang tidak disangkakan itu, pandanganku kini gelap, semuanya hitam. Aku sudah tidak boleh melihat apa-apa lagi. Mahupun dunia yang fana ini termasuklah seisinya.
Aku dimaklumkan bahawa aku dibawa ke hospital oleh Cikgu Suraya. Itupun setelah sejam aku dibiarkan pengsan tanpa ada orang yang menyedari perihalku. Kata doktor, kepalaku mengalami hentakan yang kuat hingga menyebabkan ada beberapa sel yang bersambung ke mataku tidak dapat berfungsi.
Aku tahu kemarahan Balqis berpunca daripada tindakanku yang berterus terang dengan Balqis sehari sebelum peristiwa malang itu.
“Balqis, aku tidak setuju jika kau bercinta dengan Adam.”
“Kenapa?”
“Dia bukan lelaki yang setia. Dia bukan lelaki pilihanmu yang akan membimbingmu nanti. Dia hanya akan menyusahkan hidupmu kerana dia juga sedang bercinta dengan perempuan lain.” Apa yang kunyatakan ini bukanlah rekaan ku semata-mata, tetapi aku melihat sendiri Adam berjalan berduaan dengan seorang perempuan, rakan sekelas kami. Ampunkan hamba-Mu ini Ya Allah.
“Apa kena mengena kau dan Adam. Oh ya, baru aku tahu, kau pernah simpan hati dengan dia kan. Maklumlah lelaki kacak, kaya pula tu.”
“Astaghfirullahal Azim..Balqis, bawa mengucap.” Sejauh itu Balqis berubah. Seorang sahabat yang selama ini amat pendiam, penuh dengan sopan santun telah berubah hanya kerana telah bercinta dengan hamba ciptaan Allah yang haram dicintai sebelum menikah. Aku beristighfar panjang. Mungkin inilah balasan daripada Allah akibat melanggar perintahnya.
“Ingat Husna, selepas ini kita bukan lagi sahabat. Kita putus kawan. Mulai saat ini, kau dengan duniamu, aku dengan duniaku. Ingat, mind your own business.”
Aku sangat kesal kerana membiarkan Balqis hanyut dibawa arus dunia. Aku bersalah. Ya Allah betapa besarnya dosaku kerana membiarkan sahabat baikku hanyut. Berdosanya aku kerana aku tidak mampu membawanya kembali ke jalan-Mu yang diredhai Ya Allah. Ya Allah, andai ini tanggungjawabku, izinkan aku membawanya semula ke jalan-Mu dengan bantuan-Mu Ya Allah.
*****
Hari ini aku teringin untuk makan ikan bakar di hujung pekan. Tempat yang selalu menjadi mangsa aku dan Balqis apabila kami ingin merehatkan otak setelah penat belajar suatu masa dahulu. Tetapi kini, tempat itu menjadikan aku rindu dengan Balqis setelah beberapa tahun kami tidak berjumpa mahupun berhubung melalui telefon.
Aku mendapat tahu daripada beberapa orang rakanku bahawa Balqis kini telah menjadi Akauntan di salah sebuah bank terkemuka di negara ini. Alhamdulillah, cita-citanya telah tercapai. Kini Balqis juga menjadi salah seorang daripada penggerak Islam yang aktif. Semuanya telah lengkap, cuma dengar khabar, dia masih mencari sahabat baiknya yang masih belum ditemui sejak beberapa tahun yang lalu.
Kerana rindu yang tidak tertahan, aku mengajak kakak sulungku pergi ke tempat itu, tempat yang penuh dengan kenangan manis. Setelah kakakku memastikan kaca mata hitam yang ku pakai bersih, aku turun dari kereta. Kakiku pantas menuju ke gerai itu. Bau harum ikan yang dibakar itu membuat aku kecur liur. Aku tahu, melihat gelagatku, kakakku hanya mampu tersenyum.
Sedang enak aku menjamu selera, aku terasa ada seseorang sedang menghampiri meja aku dan kakakku.
“Assalamualaikum.” Salam diberi.
“Waalaikumsalam.” Aku menjawab salam perlahan kerana mendengar suara itu, seleraku mati. Aku terkedu. Adakah betul apa yang ada dalam fikiranku sekarang?
“Kalau tidak salah ini Husna binti Abu Bakar kan?”
Sah. Tekaanku tidak salah lagi. Aku kenal dengan suara itu. Suara yang amat aku rindu selama beberapa tahun ini. Suara lunak itu milik Balqis. Ingin benar rasanya aku memandang wajah yang aku rindu itu. Tapi..
“Maaf, anda salah orang.” Jawapan yang mengejutkan keluar dari bibirku. Aku tahu malah aku pasti bahawa Balqis terkejut dengan jawapanku. Aku tahu dia kenal siapa aku. Dia hanya inginkan kepastian. Aku bergegas menghabiskan minumanku yang terakhir lalu bergegas mengajak kakakku pulang. Kakakku hanya menurut kerana aku pasti dia kenal siapa yang sedang berhadapan dengan kami sekarang.
“Husna. Aku tahu kau Husna. Husna yang aku cari selama ini. Husna sahabat baik aku. Aku tahu kau bohong. Kau Husna.”
Langkahku semakin laju.
“Husna. Husna. Husna, berikan peluang untukku meminta maaf. Aku tahu aku salah. Aku tahu aku bukan sahabat yang baik. Maafkan aku Husna.” Balqis memeluk erat kakiku menyebabkan aku tidak dapat mengimbangkan tubuhku lalu jatuh tersungkur. Aku mencari kaca mata hitamku sebelum Balqis sempat mengesan sesuatu. Darah pekat di lututku tidak aku endahkan, yang penting kaca mata hitam itu. Aku terdengar tangisan semakin kuat di sisiku.
“Kenapa kau rahsiakan semua ni daripada aku Husna? Jadi betullah khabar yang aku dengar kau jadi buta kerana aku? Semua ni pasti angkara aku kan Husna?.” Aku terduduk lesu. Badanku lemah. Kepalaku mula terasa pening. Aku tidak sedar lagi apa yang terjadi selepas itu.
*****
Aku tersedar setelah lama aku tidak sedarkan diri. Sedar saja aku daripada tidurku yang panjang itu membuat aku terkejut dan lafaz syukur tidak terhenti-henti dari bibirku. Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu Akhbar. Segala puji hanya untukmu Ya Allah. Ucapan syukur semakin panjang meniti di bibir.
Terkejutnya aku bukan kepalang. Nikmat Allah yang telah bertahun-tahun ditarik akhirnya aku dapat semula walaupun tidak sempurna. Aku sudah boleh melihat!!! Ingin ku laungkan kata-kata itu walaupun aku hanya boleh melihat dengan mata kanan sahaja. Ingin kuketahui siapakah pemilik mata yang pemurah itu.
Aku memandang katil yang serba putih disebelahku. Balqis!! Aku melihat matanya. Persoalanku terjawab apabila aku melihat mata kanannya berbalut. Aku menitiskan airmata. Sungguh pilu kurasa. Sebak kian mencengkam dada. Akhirnya kami sama-sama menangis dalam senyuman gembira.
- TAMAT -
Titipan untuk para sahabat.
Nukilan Sendiri.
No comments:
Post a Comment